Dulu Pengutip Sampah Di Jalanan, Tapi Hari Ini Gadis Ini Bergelar Graduan Daripada University Of Melbourne

Mencapai kejayaan dalam kehidupan yang sukar bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia memerlukan pengorbanan dan kesukaran yang perlu kita hadapi.

Seperti kisah seorang gadis ini yang bernama Sophy Ron, di mana dia tidak bersekolah dan bekerja sebagai pekerja di tapak pelupusan sampah sehinggalah dia berusia 11 tahun.

Sebagai buruh kanak-kanak pada ketika itu, dia tidak berkesempatan untuk bersekolah seperti mana kanak-kanak yang lain namun akhirnya dia berjaya menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne.

Sophy merupakan antara kanak-kanak terawal yang diselamatkan oleh Cambodian Children’s Fund (CCF)daripada bekerja di tapak pelupusan sampah terbesar di kota Phnom Penh, dan kini dia boleh berbangga kerana kejayaan yang telah dikecapinya pada hari ini.

Berbalik semula kepada kisah lamanya, Sophy akan menghabiskan 7 hari seminggu untuk mengasingkan sampah dan bernafas di dalam udara tercemar dan bertoksik bagi membantu ibu bapanya menyara kehidupan. Mereka lazimnya meneruskan kehidupan dengan mengutip sisa makanan yang telah pun dibuang.

Akan tetapi, Sophy kini mampu berdiri di depan khalayak ramai dan memberikan ucapannya dalam bahasa Inggeris dengan lancar – situasi yang sangat berbeza daripada masa silamnya.

Sungguhpun begitu, dia masih tidak melupakan asal usulnya dan memutuskan untuk pulang ke Kemboja untuk ‘menyambut’ kejayaannya itu bersama keluarga dan rakannya sehingga semester berikutnya bermula.

Orang ramai yang mengikuti kisahnya berasa sangat berbangga dengan pencapaian dan kegigihan gadis berkenaan. Usaha murni yang dilakukan oleh CCF untuk membantu golongan miskin yang dilanda kesusahan amatlah wajar.

Hal ini kerana, membantu kanak-kanak dalam kesusahan seharusnya menjadi komitmen global. Kita sepatutnya memainkan peranan agar setiap kanak-kanak mendapat hak mereka untuk menerima pendidikan.

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post