20 tahun solat berjemaah di masjid,bila allah kasih pada hambanya .

SUNGAI PETANI – Seorang tukang kebun yang meninggal dunia selepas membaca al-Quran di ruang solat Masjid Nurul Hasa­nah di Bukit Kecil Simpor, Tikam Batu di sini kelmarin merupakan jemaah tetap masjid itu sejak le­bih 20 tahun lalu.

Kematian Allahyarham Abdul Wahab Mat Noh, 54, disahkan pasukan perubatan selepas lelaki itu ditemui berbaring dan tidak sedarkan diri oleh petugas masjid pada pukul 7 pagi.

Isteri arwah, Noorhayati Mat Saad, 49, berkata, sepanjang perkahwinan, suaminya tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid tersebut yang terletak kira-kira 1.5 kilo­meter dari rumah mereka kecuali arwah demam atau menghadiri kuliah agama di luar daerah.

Katanya, setiap kali selepas selesai solat berjemaah, bapa kepada tiga anak itu akan membaca al-Quran di masjid berkenaan.

“Arwah menunaikan solat lima waktu di masjid dan itulah rutin hariannya selama ini.

“Sekiranya berada di rumah, suami saya menunaikan solat sunat duha atau tahajud, selain membaca al-Quran atau menonton ceramah agama di televi­syen atau media sosial,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kampung Bukit Kecil Simpor di sini semalam.

Noorhayati memberitahu, arwah suaminya tidak mempunyai hobi seperti orang lain, sebaliknya suka menziarahi kena­lan jika mengetahui mereka sakit.

Tambahnya, arwah suaminya yang merupakan tukang kebun Sekolah Kebangsaan Darulaman itu sanggup berulang-alik ke Pondok Tuan Guru Haji Salleh Musa di Sik dekat sini pada setiap Jumaat untuk mengikuti kuliah dan kelas agama di sana.

“Arwah merupakan seorang suami yang baik dan kerap berpesan supaya jangan meninggalkan solat, selalu membaca al-Quran dan mendalami ajaran agama selagi masih hidup.

“Sememangnya kami sekeluarga terasa kehilangan seorang pembimbing. Dia bukan sahaja suami yang baik, malah ayah yang bertanggungjawab kepada tiga anak kami,” kata suri rumah itu.

Pasangan tersebut mempu­nyai dua anak lelaki berusia 18 dan 20 tahun serta anak perempuan berusia 14 tahun.

Jenazah Abdul Wahab dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk dibedah siasat dan bedah siasat mendapati, kematian lelaki itu akibat saluran pernafasannya tersekat.

Arwah dikebumikan di Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecil di sini selepas solat Isyak malam kelmarin.
sumber;-K! ONLINE

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post