Kanak-kanak cedera disambar api, meriam buatan sendiri meletup

PADANG TERAP: Seorang kanak-kanak cedera di muka dan dada akibat disambar api selepas meriam batang paip buatan sendiri meletup di Kampung Ulu, Padang Sanai di sini pada 13 April lalu.

Mangsa yang berusia 12 tahun mengalami kecederaan tersebut ketika bermain meriam sejauh lima meter dari rumahnya kira-kira pukul 6.55 petang.

Akibat kecederaan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Mangsa memberitahu, dia sebelum itu memasukkan bahan bakar iaitu karbaid dan air ke dalam batang paip sepanjang satu meter tersebut.

Bagaimanapun katanya, meriam tersebut mengeluarkan api dan meletup sejurus selepas dia menyalakan api dengan menggunakan pemantik api.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian muka, dada dan sebahagian rambut saya terbakar kerana disambar api dalam kejadian itu. Saya juga menjerit kesakitan sambil meminta pertolongan sebelum ke tandas untuk membasuh muka kerana terlalu panas.

“Selepas beberapa minit, bahagian badan yang disambar api itu juga melepuh sehingga menakutkan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ulu, Padang Sanai di sini hari ini.

Mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, ibunya yang berada di dapur untuk membuat persediaan berbuka puasa bergegas keluar dan terkejut dengan kejadian tersebut.

Katanya, ibunya kemudian membawanya ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapat rawatan sebelum dihantar ke HSB kerana kecederaan yang dialami serius.

“Selepas mendapat rawatan selama dua hari, kecederaan yang saya alami termasuk penglihatan saya semakin pulih. Saya juga dinasihatkan oleh doktor supaya tidak bermain di luar rumah terutamanya pada waktu panas kerana kulit yang terbakar itu akan merasa pedih,” katanya.

Mangsa berkata, dia mengakui tidak tahu tindakannya bermain meriam batang paip buatan sendiri boleh mengundang bahaya.

“Selepas kejadian itu, saya serik dan tidak mahu bermain meriam buatan sendiri lagi selepas ini kerana bimbang tragedi itu akan berulang,” jelasnya.
sumber ; UTUSAN

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post