Rumah hujung jalan ada ‘penunggu’, 4 bulan penyewa hidup dengan jin... Akhirnya pemuda ini mengalah, entiti tunjukkan diri!

RUMAH dihujung jalan sudah hampir setahun tidak berpenghuni. Setiap kali ada penyewa baharu masuk, pasti tidak akan bertahan lama.

Salah seorang penduduk di taman itu, Zahrul Baharuddin memaklumkan paling lama rumah itu berpenghuni adalah selama sebulan sebelum penyewa bertindak berpindah keluar mencari tempat tinggal lain

Disebabkan kekerapan penyewa keluar masuk, timbul cakap-cakap dalam kalangan penduduk tentang misteri menyelubungi rumah itu yang jika dilihat dengan mata kasar, sangat cantik dan terjaga dengan baik.

Pada pagi itu, bertalu-talu masuk notifikasi di grup WhatsApp menandakan ada gosip terbaharu – Kak Zalifah yang terkenal sebagai wartawan tak bertauliah di kawasan itu memaklumkan rumah puaka itu sudah ada ‘mangsa’ baharu!

Tiga bulan berlalu, penghuni baharu rumah itu tiada tanda-tanda menunjukkan akan melarikan diri sehinggakan keberaniannya tinggal seorang diri di kediaman itu menjadi cakap-cakap dalam grup dan sudah tentu diketuai Kak Zalifah.

Apa yang mengejutkan ialah penyewa lelaki itu tiba-tiba datang ke rumah saya untuk meminta bantuan tengok-tengokkan keadaan rumahnya itu.

Wajahnya kelihatan resah dan tanpa diminta, lelaki dikenali sebagai Syamsul itu bercerita panjang mengenai masalah sebenar dihadapinya selama tiga bulan menyewa di rumah itu… Kak Zalifah melepas kali ini,” ujarnya.

Menceritakan apa yang membelenggunya, Syamsul beritahu dia menyewa rumah itu kerana kadarnya yang berpatutan, rumahnya pula cantik selain ia dekat dengan tempat dia bekerja.

Pada awalnya, Syamsul memberitahu tiada sebarang kejadian pelik berlaku di rumah itu tetapi dia kerap terdengar bunyi seolah-olah ada benda merangkak dan berlari-lari di syiling atas rumah.

“Saya sangka itu mungkin bunyi tikus berlari dalam siling, jadi saya tidak mengendahkannya atau berfikir bahawa ada sesuatu menyeramkan sedang berlaku di rumah itu,” kata Syamsul seperti diceritakan Zahrul.

Tingkap terbuka luas, kelibat melintas di dapur

Sehinggalah pada suatu hari, Syamsul singgah ke rumah untuk mengambil barang yang tertinggal sekitar pukul 1 petang dan darahnya berderau kerana menyangka ada perompak di dalam rumahnya.

Jelas kedengaran ketika dia melangkah masuk ke rumah bunyi tapak kaki orang tetapi apabila diperiksa tiada sesiapa malah keadaan di dalam rumah juga seperti biasa.

“Syamsul berasa pelik bagaimana tingkap dapurnya boleh terbuka luas dan lebih pelik ada sehelai daun kering di dalam sinki. Belakang rumah pun tiada pokok,” cerita Zahrul.

Malam itu, selepas selesai solat dan makan malam, Syamsul menelefon tunangnya. Panggilan itu sudah menjadi rutin kerana kalau tidak, Juliana akan mencarinya sampai ke lubang cacing!

Sedang dia dan tunangnya rancak berbual, Syamsul tiba-tiba terperasan ada kelibat putih melintas di bahagian dapur yang menghadap sofa tempat dia duduk di ruang tamu.

Dengan bertemankan Juliana dihujung talian, Syamsul memberanikan diri memeriksa dapur. Ditoleh ke kiri, ke kanan, tiada pula sesiapa di dapurnya.
“Sepanjang malam Syamsul terfikir mengenai kelibat yang dilihatnya tadi… ia bukan khayalan. Sampai tak boleh tidur dibuatnya malam itu kerana terbayang-bayang kelibat yang melintas di hadapannya tadi.

Walaupun tidak lihat secara jelas, tetapi Syamsul tahu kelibat putih yang dia lihat itu menyerupai seorang wanita, berambut panjang, terus meremang bulu romanya mengenangkan apa dia lihat tadi,” katanya.

Untuk menghilangkan perasaan takut, Syamsul membuka MP3 ayat al-Quran di dalam telefonnya, seketika rasa tidak tenteram itu hilang dan dia akhirnya tertidur.

Jatuh pengsan nampak kelibat

Keesokan harinya, ketika sedang mandi, Syamsul perasan di pergelangan tangan kirinya terdapat kesan luka seperti cakaran kucing. Apabila disentuh, ia terasa pedih.

Beberapa bahagian lain badannya turut mengalami kesan cakaran itu seperti di bahagian betis, leher dan kaki.

Petang itu, balik dari kerja, Syamsul sekali lagi melihat kelibat sama di bahagian dapurnya. Bezanya kali ini, kelibat yang dilihatnya itu dalam bentuk yang jelas dan nyata.

“Kelibat itu memandang tepat ke arah wajahnya. Muka makhluk itu menakutkan dan sukar baginya menggambarkan rasa ketakutannya itu.

sumber mstar

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post