Kota Bharu: “Walaupun tahu keadaan rumah dan persekitaran tidak selesa untuk anak-anak tetapi saya selalu ingatkan mereka supaya bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada tempat untuk berteduh daripada tinggal di jalanan,” kata Shamsuddin Mohd Ali, 40.
Menurutnya, dia dan isterinya, Rabiah Abd Manaf, 37, serta lima anak berusia antara 5 hingga 13 tahun hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kerana kesempitan hidup.
Katanya, disebabkan itu, dia tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang selesa buat anaknya walaupun tahu mereka memerlukan persekitaran selesa dan sihat untuk membesar.
Apabila hujan, kami sekeluarga terpaksa berlindung di bawah rumah kerana bumbung bocor dan hanya ditutup dengan kanvas. Saya tidak mempunyai wang untuk membaikinya kerana wang yang ada hanya cukup-cukup makan sahaja.
“Selain itu, keadaan rumah yang uzur dan dinding yang berlubang turut merisaukan saya kerana kerap ‘didatangi’ binatang berbisa seperti lipan dan ular, namun saya sentiasa berpesan kepada anak-anak supaya berhati-hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terusan Limbat, di sini, hari ini.
Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, dia tidak dapat menjual di Pasar Tani Pasir Tumboh selain risiko penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya mencari dan mengutip besi buruk dan tin di sekitar kampung untuk dijual di kedai besi buruk yang terletak di sekitar Kampung Tiong.
“Kebiasaannya, besi buruk atau tin yang dikutip ini akan dikumpul selama seminggu atau dua minggu sebelum dijual.
“Kadang-kadang saya memperoleh sekitar RM60 hingga RM70 bergantung kepada jumlah barang yang dikutip setiap hari,” katanya.
Katanya, selain mencari dan mengutip besi buruk, dia yang dibantu isterinya turut menternak ikan keli secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang diperoleh RM300 sebulan.
“Pendapatan yang diperoleh ini hanya cukup-cukup makan sahaja dan ada ketikanya kami tujuh beranak terpaksa makan nasi berkuahkan budu atau kicap selama tiga hari berturut-turut.
“Mujurlah anak-anak memahami kesusahan hidup dan mereka makan apa sahaja yang dihidang asalkan perut beralas. Ada ketikanya datang perasaan sebak apabila melihat wajah mereka yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan,” katanya.
Shamsuddin berkata, tahun depan kesemua anaknya iaitu Mohd Hafizul Faiz,6; Nurul Ain Syamimi, 7; Mohd Amir Hisyam, 9; Nurul Ain Syafiqah, 11; dan Mohd Khairul Anwar, 14, akan bersekolah dan dia buntu memikirkan untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung keperluan persekolahan mereka.
Walau susah macam mana sekalipun, saya tidak akan mengabaikan pelajaran anak-anak kerana hanya dengan ilmu mereka akan berjaya serta mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik.
“Saya juga pernah berpesan supaya tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya jadikan ia batu loncatan untuk menjadi insan yang berguna serta berjaya mencapai cita-cita pada satu hari kelak,” katanya.
Walau susah macam mana sekalipun, saya tidak akan mengabaikan pelajaran anak-anak kerana hanya dengan ilmu mereka akan berjaya serta mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik.
“Saya juga pernah berpesan supaya tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya jadikan ia batu loncatan untuk menjadi insan yang berguna serta berjaya mencapai cita-cita pada satu hari kelak,” katanya.
sumber;h metro