Warung ikan bakar pikat pelanggan dengan teh O percuma

PASIR PUTEH: Hanya perlu bayar harga makanan berdasarkan lauk ikan bakar serta sayur lemak yang diambil manakala minuman teh O panas pula boleh dinikmati percuma tanpa had.

Tawaran istimewa itu memikat pelanggan, sekali gus menjadikan warung ikan bakar bekas nelayan, Wan Mohd. Zuki Wan Deraman, 55, di Jalan Klinik Cherang Ruku, di sini diserbu orang ramai setiap hari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Mohd. Zuki berkata, warung itu sebelum ini bangsal beratap zink tanpa dinding menjual ikan segar sebelum diubah suai selepas dia tidak lagi ke lau
“Saya menggunakan meja serta kekuda diperbuat daripada kayu tembusu. Disebabkan bangsal ini milik saya, jadi saya tidak terbeban dengan sewa dan mampu menawarkan makanan dengan harga murah.

“Saya juga menawarkan minuman teh O panas percuma. Minum banyak manapun, ia tetap percuma. Mereka hanya perlu bayar nasi bersama lauk ikan bakar dan sayur lemak,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Mohd. Zuki, harga lauk bergantung kepada jenis ikan yang dipilih pelanggan.

“Bagi ikan gred A seperti tenggiri, aji-aji, jebung, ebek dan lain-lain harganya dikira mengikut timbangan berat dan ikan tersebut hanya akan dibakar segar selepas mendapat persetujuan pembeli.

“Selain itu, antara ikan digemari pelanggan ialah ikan terubuk dan cencaru bakar yang juga merupakan menu wajib di kedai saya ini setiap kali bulan Ramadan,” katanya.

Katanya, sudah hampir dua tahun perniagaannya terjejas akibat pandemik dan kelonggaran diberikan kerajaan tahun ini akan dimanfaatkan untuk dia menghidupkan semula Warung Ikan Bakar Abang Juki.

“Warung ini baru sahaja saya buka sejak seminggu lalu dan syukurlah, dalam sehari saya mampu menjual lebih 40 kilogram ikan pelbagai jenis,” katanya yang membuka warung itu bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang setiap hari.

sumber ;UTUSAN



Post a Comment (0)
Previous Post Next Post