Foto sekadar hiasan
Assalamualaikum semua. Dah lama aku nak bercerita di sini. Tapi belum ada kekuatan.
Maaf kalau jalan cerita bukan yang berilmiah dan lebih berkisar rumah tangga. Aku tak tahu medium apa lagi untuk aku luah rasa hati dan mendengar pandangan kalian.
Mungkin di sini aku akan berjumpa mereka mereka yang dapat memberi aku rasa diri ini masih layak untuk dihargai. Sebelum itu, aku ucapkan terima kasih kepada admin jika sudi untuk siarkan kisah aku ini
Aku seorang isteri, ibu, anak dan menantu. Aku berumur lewat 20-an dan mempunyai 2 anak. Alhamdulillah aku mempunyai seorang suami yang sangat baik dan anak anak yang bijak.
Aku mempunyai degree tapi aku adalah suri rumah sepenuh masa di samping melakukan pelbagai business online.
Alhamdulillah pendapatan aku dapat membantu mak ayah di kampung. Setiap bulan aku akan bagi duit pada mak ayah dan membayar bil astro serta api.
Walau pendapatan aku mungkin bukan sehebat mereka yang berkerjaya tapi aku bersyukur kerana aku masih dapat membeli apa sahaja kemahuan aku atau anak anak tanpa mengharap atau menyusahkan suami.
Walau suami masih memberi duit perbelanjaan bulanan kerana itu janjinya asbab dari dia yang meminta untuk aku menjadi suri rumah.
Kehidupan rumah tangga kami baik baik sahaja. Doakan keadaan ini berterusan sampai bila bila untuk kami. Namun, Allah datangkan ujian dari sisi lain agar aku tidak lupa padaNya.
Aku mungkin bukan menantu pilihan kerana mereka telah terlebih dahulu mempunyai calon menantu lain untuk suamiku sebelum kami berkahwin.
Calon nya itu seorang yang berkerjaya dan senegeri dengan mertua. Sampai sekarang mertua masih berhubung dengan calon menantu idaman mereka.
Namun, apabila suami memilih aku, ya aku perlu mengharungi dugaan ini dengan redha walau terlalu banyak hati ini terguris.
Aku sentiasa di perli, di malukan depan orang ramai oleh ibu mertua hanya kerana aku tidak bekerja. Apa saja suami belikan atau sediakan untuk aku ibu mertua pasti akan menyoal aku balik.
Dia akan menyoal aku di hadapan semua keluarga apabila kami balik ke kampung.
Kenapa aku guna kereta anak dia, kenapa makan di luar tak masak untuk anak dia dan macam macam lagi. Padahal suami yang sediakan kereta untuk aku hantar dan ambil anak anak di sekolah.
Untuk aku bergerak ke mana mana bagi menguruskan perniagaanku. Adakah itu satu kesalahan? Bukan aku yang minta dia belikan kereta untuk aku.
Makan di luar pula hanya sesekali saja sebab aku suka masak. Tapi walau sesekali macam macam aku di perli.
Malahan, pernah ibu mertuaku ikut semasa kami keluar bersama ketika di kampung bagi membeli keperluan hari raya.
Ketika aku ambil sepasang kain untuk di jadikan baju raya sambil tunjuk pada suami. Aku hanya bertanya pendapat dia cantik ke tak kain tu tapi aku bukan minta dia bayarkan. Aku boleh bayar sendiri.
Terus ibu mertua datang dan rampas kain di tangan aku dan meletakkan semula di rak sambil melarang aku dari menyuruh anaknya belikan untuk aku.
Aku terkejut namun aku hanya mampu diam sebab aku tak mahu keadaan jadi kecoh di situ.
Pernah juga aku pakai beg tangan baru ketika balik kampung. Bag tersebut pemberian mak aku yang mak belikan ketika dia melancong ke Sabah.
Terus macam macam soalan ibu mertua tanya dan apabila aku ceritakan itu pemberian mak terus diperlinya seolah olah aku tipu dan kejadian itu sekali lagi dilakukannya di hadapan semua saudara mara suami.
Kalau boleh mertua hanya nak aku berpakaian lusuh, duduk di rumah jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan jangan ambil apa saja pemberian anaknya. Sebab itu apabila balik ke kampung, belum sempat duduk terus di suruh ke dapur.
Walaupun aku mempunyai ramai biras dan ipar perempuan, tapi apabila aku balik kampung hanya aku yang buat semua kerja dapur.
Ipar ipar perempuan aku kalau masuk dapur pun hanya untuk minum, basuh tangan dan berlalu keluar walau nampak aku sorang sorang masak di dapur.
Mereka tak pernah disuruh ke dapur oleh mertua. Aku pun tak tau kenapa layanan kepada biras biras berbeza dengan aku.
Namun, mertua sering mengatakan biras biras penat berkerja sedangkan aku tak ada kerja walaupun hari tersebut adalah hari minggu.
Kadang kadang aku memasak sambil dukung anak sebab tak ada seorang yang sudi menjaga anak aku. Sebab aku tak dibenarkan minta tolong suami untuk menguruskan anak anak atau apa saja di kampung.
Aku minta tolong suami ambilkan air untuk anak ketika aku suapkan anak makan ibu mertua akan halang sebab nanti anak dia penat.
Aku tak dibenarkan minta tolong suami mandikan anak anak, tak dibenarkan suami jaga anak anak walau ketika tu aku sibuk di dapur dan aku tak dibenarkan makan dulu sebab nanti tak ada orang akan jaga anak anak.
Aku wajib bagi suami makan dulu dan selepas tu baru aku makan sambil pangku anak.
Begitu juga bila mertua datang ke rumah kami. Aku tak dibenarkan minta tolong suami buangkan sampah, uruskan anak anak.
Malah ketika aku sarat mengandung juga mertua minta aku mop di dapur malam malam dan basuh toilet sebab kotor katanya walau setiap hari aku dah mengemas.
Ketika kenduri di kampung juga, pernah aku minta tolong suami jaga anak di luar sebab suami berada diluar ketika itu sambil berbual dengan rakannya.
Aku terpaksa meminta bantuan suami sebab anak anak berlari lari di dalam rumah orang sedangkan aku ketika itu sedang membantu urusan di dapur.
Aku risau anak terlanggar barang barang kaca tuan rumah. Bila ibu mertua nampak dijeritnya dari dalam rumah suruh aku sambil tengok anak anak. Jangan ganggu anak lelakinya berbual.
Mertua tidak akan sesekali menyuruh anak anaknya membuat apa saja kerja rumah dan begitu juga aku tak dibenarkan kacau suami.
Walau banyak kali suami membantah dan ingin membantuku, ibunya tetap akan halang. Aku selalu berpesan pada suami ikut saja arahan ibunya sebab aku tak mahu dia jadi anak derhaka.
Jika mertua datang ke rumah kami, aku perlu ambil alih tugas suami hantar dan amik anak tuition waktu malam walau masa tu aku dah sarat.
Alasan mertua kesian anak dia perlu rehat esok kerja sedangkan aku tak kerja, goyang kaki. Dah berpuluh kali mertua menyuruh aku kerja walau dia tahu sebab apa aku tidak bekerja.
Alasannya dia nak aku tolong kewangan anak dia. Dia tak suka anaknya uruskan keperluan kami anak isteri sorang sorang.
Terlalu banyak lagi kalau aku nak bercerita di sini. Kini, hati aku dah tepu. Aku tak mampu lagi terima segala macam kata kata, arahan dan dimalukan depan semua orang.
Aku tak membenci, tapi hati aku dah tak mampu untuk menjadi sebahagian dari mereka. Aku memilih untuk tidak lagi berjumpa mereka supaya hati aku lebih tenang.
Mungkin setahun sekali dua cukupla. Namun aku tidak akan halang suami untuk berjumpa mereka sebab aku nak suami terus menjadi anak yang baik.
Asbab PKP aku menjadi sangat bahagia kerana tidak perlu berjumpa mereka. Hinanya seorang suri rumah di mata mereka sedangkan tangan ni la yang menjaga anak dan keturunan mereka dengan sebaik- baiknya tanpa meminta apa apa balasan.
Adakah aku berdosa memilih untuk tidak lagi berjumpa dengan mereka? Tapi siapa yang akan menjaga hati aku jika aku terus berhadapan dengan mereka?
Terima kasih kerana sudi membaca kisah aku dan maaf jika ianya terlalu panjang.
Reaksi Warganet
Dee Ya –
Mertua sangat kejam. Seeloknya tak payah langsung balik rumah mertua. Tak perlu awak masuk dapur umah mertua untuk masak dekat semua orang. Tu bukan tanggungjawab awak.
Cukuplah awak duduk je rumah sendiri ok. Jangan biar diri dihina depan saudara mara dia belah sana lagi. Moga Tuhan permudahkan urusan awak.
Fatimah Huwaina –
Tak faham kenapa bila suami membantah arahan ibu dia, awak pulak larang sebab kononnya tak mau dia jadi anak derhaka? Sepatutnya dari situ lah dia boleh tegur ibu dia, dekat mana salah kat mana betul.
Apa yang suami awak buat tu betul la. Bukan semua akan jatuh derhaka. Pertahankan diri sendiri dan bila suami pertahankan awak, biar dia jalankan tugas dia sebagai suami.
Melainkan kalau suami awak memang tak pertahankan awak, memang tak ke mana lah.
Miema Mia –
Sebab tu rezeki aku tak dapat mertua macam ni. Kalau aku dapat macam ni, tak sempat dia peel kot.
Ingat kita kena hargai diri kita baru la orang boleh hargai diri kita. Dah dah la tu masak dukung anak, menantu lain cuci tangan dan blah.
Lepas ni kalau dia soh masak ke apa nak buat silakan. Tapi bawak stok ubat lawas berak aka julap bubuh la sesudu dua. Hidangkan maharaja2 tu… Baru tau erti kehidupan
Hanim Berahim –
Sis,
Suami bekerja, bagi nafkah pada isteri, anak anak – wajib.
Isteri bekerja, untuk bantu kewangan keluarga – ihsan, tak wajib.
Takde istilah isteri susahkan suami. Suami tak beri nafkah – dosa ye. Tak kira awak kerja atau tak.
Kedua, awak bukan kuli, bukan hamba, bukan orang gaji. Jangan letak diri sendiri dekat situ. Tu namanya zalim pada diri. Awak isteri, tugas jadi isteri. Biar suami bela awak, in any situation. Dia tak buat, dia dayus.
Belajar kata tak, belajar buat tak peduli pada orang orang yang tak hargai awak. Belajar berkongsi dengan suami. Bagitau apa yang dirasa. Balik bila perlu sahaja.
Jangan harap orang hargai awak kalau awak tak hargai diri sendiri. Bukan menantu pilihan bukan, bermakna perlu jadi hamba mak mentua.
Kallen Stadfeld –
Pernah dulu masa mula mula kerja, ada orang kenenkan aku dengan sorang ni. Mak ayah dia datang ke rumah, pastu mak ayah dengan aku datang pulak rumah dia.
Masa tu ada menantu dia dekat rumah. Depan mak ayah aku dia hina menantu dia tak kerja pastu kata menghabiskan duit anak dia. Pastu dia cakap kat aku yang aku takkan jadi macam tu sebab aku bekerjaya.
Aku tengok kakak tu tunduk je confirm sedih masa hidang air. Aku sikit lagi nak maki dia, tapi mak aku cubit aku kuat kuat. Cepat cepat aku minum, aku mintak izin nak balik sebab tengah on call (tipu).
Lepas pada tu aku blocked no makcik tu. Ngeri aku fikir kalau aku jadi menantu dia. Kot kot la akan datang aku nak resign ke mesti aku kena layan macam tu.
Anak anak lelaki dia kerja biasa biasa je bukan hebat hebat pun tapi dia puji anak laki dia.
Peristiwa ni jd 5 tahun lepas. 3 tahun lepas kakak ni mesej aku kata dia dah bercerrai dan dia gembira. Katanya sebab suami dia curang dengan perempuan Kerja PT sekolah je pun perempuan tu.
Tapi mak dia sukalah sebab kerja. Padahal kakak ni income pun boleh tahan dulu and berhenti kerja sebab suami suruh.
Sumber – Orked (Bukan nama sebenar) via IIUMC