“Berkah & Hadiah Dari Allah.” J Eshan Nufail, Nama Pilihan Baby ‘Ajaib’, Permata Hati Jahidah

Setelah seminggu dilahirkan, ahli keluarga sepakat memilih nama J Eshan Nufail untuk bayi kepada Jahidah Nordin. Nama yang membawa maksud Pemberian Dari Allah SWT Itu sememangnya sesuai dengan apa yang dilaluinya.

J Eshan Nufail yang dipanggil ‘Baby J’ itu kini berada di bawah jagaan adik Jahidah iaitu Fauziah Nordin, 40, yang tinggal di Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Fauziah, nama tersebut dipilih sendiri olehnya membawa maksud dalam berkah dan hadiah daripada Allah manakala J itu merujuk kepada nama ibunya Jahidah.

“Alhamdulillah kini ‘Baby J’ berada di rumah dan bacaan penyakit kuning atau jaundis neonatal yang dialaminya sudah menurun. Tetapi masih kena pantau (bacaan kuning).” ujarnya.

Baby sihat dan normal

Dalam masa yang sama, mereka sekeluarga memanjatkan kesyukuran kerana Baby J membesar dengan baik, memandangkan ketika dalam kandungan doktor memaklumkan kakinya agak kecil.

“Tetapi sekali keluar bayi sihat dan normal, sekarang siap boleh angkat kepala dan badan walaupun baru masuk seminggu,” katanya.

Jahidah selamat melahirkan bayi tersebut secara pembedahan kecemasan kira-kira pukul 9 malam, 30 November lalu.

Fauziah yang sering berkongsi perkembangan terbaharu ‘Baby J’ menerusi media sosial Facebook dan Tiktok turut memberitahu, ada dalam kalangan netizen memaklumkan telinga bayi itu mempunyai perkataan seakan kalimah Allah.

“Pada mulanya saya juga tidak perasan, mungkin ini tanda kebesaran Allah, semua orang sayangkan ‘Baby J’ dan kakak Jahidah,” katanya.

Bantuan ringankan beban

Menurut Fauziah lagi, rezeki si kecil juga tidak putus-putus. Setiap hari ada sahaja individu yang prihatin dan mahu sama-sama membantu meringankan beban dia sekeluarga menjaga Jahidah serta permata hatinya itu.

“Bantuan ini sangat bermakna dalam menguruskan kakak Jahidah dan bayi kecil ini, selain semangat semua orang membuatkan saya dan keluarga terus kuat,” ucapnya syukur.

Jahidah kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih di bawah pemantauan doktor di Wad Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas, boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7617797037 (Fauziah Nordin).

Untuk rekod, pada 4 Mei lalu, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Sumber: utusan online

Sudah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Kongsi Halaman Media Porta< /a> l Ya.

Jom sertai group ni.. Khas untuk kami kongsikan resepi anda nanti.. InsyaAllah bermanfaat di sana.. TQ
Ingin Sertai –>
Klik Di Sini