Derma 90% Gaji Untuk Rakyat Susah, Kenali Bekas Presiden ‘Termiskin’ Di Dunia,Jose Mujica..

Setiap pemimpin sesebuah negara pastinya memiliki pendapatan yang sangat tinggi, sesuai dengan tugasannya selaku ketua tertinggi. Justeru, tidak hairanlah jika kediamannya besar, memiliki pelbagai kemudahan dan sebagainya.

Namun, hakikatnya segala kemewahan itu dirasakan tidak perlu bagi sosok tubuh yang tinggal di sebuah rumah buruk di tepi ladang, iaitu bekas Presiden Uruguay yang ke-40, Jose Alberto ‘Pepe’ Mujica Cordano atau dipanggil Jose Mujica.

Tahukah anda, Jose Mujica pernah digelarkan sebagai pemimpin negara paling miskin di dunia tetapi menjadi satu-satunya contoh pemimpin yang sangat dikenang oleh kebanyakan rakyat Uruguay.

Oleh itu, jom kita kenali Jose Mujica melalui tujuh fakta menarik di bawah ini.

1. Anak seorang peladang miskin
Mujica dilahirkan di Montevideo, Uruguay pada 20 Mei 1935. Semasa kecil, beliau menghabiskan masa seharian membantu ayahnya, Demetrico Mujica di ladang. Namun, ayahnya meninggal dunia ketika beliau berusia lima tahun. Bermula sejak itu, ibunya, Lucy Cordano yang juga imigran dari Liguria terpaksa menanggung keluarga mereka dalam keadaan serba miskin.

2. Sertai kelab basikal untuk dapatkan duit
Menyedari keadaan keluarganya yang serba miskin, Mujica tekad untuk mengubah nasib mereka. Dikatakan semasa berusia 13 tahun, Mujica menyertai sebuah kelab berbasikal dan mula aktif berkawan dengan rakan-rakan luar. Malah selepas itu, Mujica mula aktif terlibat dalam politik dan menyertai gerakan Parti Nasional.

3. Terlibat dalam gerila

Berbekalkan semangat dan karisma, Mujica berjaya menyertai Parti Nasional pada pertengahan 1960 an. Pada masa yang sama, beliau turut menyertai kumpulan gerila Tupamaros, iaitu sebuah kumpulan bersenjata yang diinspirasi daripada Revolusi Cuba 1953. Difahamkan, Tupamaros cukup terkenal dengan jenayah rompakan bank dan penculikan.

Namun menariknya, mereka akan mengagihkan semula hasil rompakan dalam bentuk wang dan makanan kepada orang-orang miskin. Sebab itulah Tupamaros digelar sebagai ‘Robin Hood Uruguay’. Bagaimanapun ‘perjuangan’ gerila Mujica akhirnya tamat apabila beliau ditembak polis sebanyak enam kali sebelum ditahan dan disumbat ke dalam penjara tentera selama berbelas tahun.

4. Lari dari penjara
Pada 1969, Mujica menjadi ketua salah sebuah kumpulan gerila yang ‘memegang’ bandar Pando. Semasa dalam operasi gerila pada 1970, Mujica akhirnya tumpas di tangan polis setelah ditembak enam kali, namun sempat mencederakan dua anggota ketika itu. Selepas ditangkap, beliau dirawat di hospital dan kemudian dimasukkan ke Penjara Punta Carretas. Namun pada 1971, Mujica bersama 99 banduan lain berjaya melarikan diri dari penjara itu.

Bagaimanapun kebebasannya tidak berpanjangan. Dikatakan Mujica kerap ditangkap semula beberapa kali dan kali terakhir beliau ditangkap adalah pada 1972. Sebagai kemuncaknya, Mujica akhirnya dipenjarakan di penjara khas tentera bersama lapan lagi ahli gerila Tuparamos selama 13 tahun. Difahamkan, semasa meringkuk lama di penjara, Mujica pernah mengalami beberapa masalah kesihatan termasuklah masalah mental.

5. Bina hidup baharu, kembali ke medan politik
Setelah lebih 14 tahun dipenjara, akhirnya Mujica selamat dibebaskan pada 1985. Pengalaman perit sepanjang dipenjarakan tidak mematahkan semangatnya untuk aktif dalam politik demi keadilan rakyat. Justeru, sekembalinya dari penjara, Mujica bersama beberapa rakan bekas Tupamaros dan sayap kiri kumpulan lain membentuk parti politik baharu iaitu Gerakan Penyertaan Popular (The Movement of Popular Participation – MPP).

Parti baharu itu kemudiannya diterima dalam pakatan parti Broad Front dan pada 1994, Mujica dipilih sebagai timbalan pengerusi parti dan menjadi senator pada 1999. Berkat semangat dalam jiwanya, parti MPP terus mendapat populariti dalam kalangan rakyat. Akhirnya pada 2004, parti bawaan Mujica itu berjaya menjadi parti terbesar dalam pakatan Broad Front.

6. Perjuangan politik lancar, diangkat menjadi presiden ke-40 Uruguay

Menjelang Pilihanraya Umum (PRU) Uruguay pada 2004, Mujica terpilih menjadi senat dan partinya MPP berjaya memperoleh lebih 300,000 undi. Ia sekaligus meningkatkan pengaruh politiknya di Uruguay dan membawa kepada kemenangan calonnya, Tabare Vazquez dalam pemilihan presiden. Pada PRU Uruguay 2009, Mujica menang dan terpilih menjadi Presiden Uruguay ke-40.

7. Hidup cara marhaen

Mujica mula bertugas sebagai Presiden Uruguay pada 1 Mac 2010. Namun ada sesuatu yang sangat berbeza ‘tertanam’ dalam keperibadian Mujica berbanding pemimpin-pemimpin negara lain iaitu gaya hidup. Walaupun bergelar presiden, namun Mujica memilih untuk menjalani gaya hidup yang cukup bersederhana, ringkas, tidak bermegah dengan harta dan jauh sekali untuk bermewah.

Pada setiap bulan, Mujica akan menyumbangkan 90 peratus gajinya kepada rakyatnya yang miskin di sekitar Uruguay. Dalam masa sama, beliau juga menolak untuk menggunakan kereta khas kerajaan, sebaliknya memilih untuk ‘setia’ dengan Volkswagen Beetle kepunyaannya yang dibeli pada 1987 dahulu dengan harga RM7,500.

Selain itu, tidak seperti kebanyakan presiden lain yang tinggal selesa di kediaman rasmi kerajaan, Mujica memilih untuk tinggal di rumah buruk di tepi ladang yang terletak di Montevideo bersama isterinya, Lucia Topolansky bersama anjing kesayangannya, Manuela. Malah, jika kediaman rasmi presiden lain dilengkapi dengan puluhan pengawal keselamatan, sebaliknya teratak Mujica hanya dikawal dengan dua anggota polis saja.

Di ladang itu, Mujica dan isteri menghabiskan masa bersama dengan menanam bunga. Tiada langsung gaya hidup mewah seperti kebanyakan pemimpin negara lain. Sifat bersederhana dan merendah diri yang ada pada Mujica ini menjadikannya sebagai ‘presiden paling miskin di dunia’.

Kata-kata keramat Mujica
Presiden Uruguay ini sering kali mengungkapkan kata-kata keramat kepada pemberita setiap kali disoal mengenai gaya hidup yang serba miskin. Mujica pernah menjelaskan, beliau tidak menggemari istilah ‘presiden termiskin’ kerana padanya, mereka yang menganggapnya miskin adalah gagal memahami erti kekayaan.

“Saya bukan presiden termiskin. Yang paling miskin adalah orang yang memerlukan banyak kehidupan. Gaya hidup saya adalah akibat luka (kisah silam) saya. Saya adalah pewaris kepada sejarah silam saya. Sudah bertahun lamanya saya sangat selesa (hidup) walau hanya dengan memiliki tilam,” katanya, memetik The Guardian.

Selain itu, Mujica tidak sesekali mahu gaya hidup miskinnya itu dialami oleh rakyatnya. Malah beliau berkata, rakyat pasti marah jika ‘perlu’ untuk hidup sedemikian. Katanya, “Jika saya meminta rakyat hidup seperti saya, mereka akan bunuh saya.”

Dalam satu ungkapan lain, Mujica memberitahu bahawa takrifan miskin yang sebenarnya adalah mereka yang terpaksa untuk kekal hidup secara mahal.

“Saya dipanggil ‘presiden termiskin’, tapi saya tidak berasa miskin. Orang miskin adalah mereka yang hanya berusaha untuk mengekalkan gaya hidup yang mahal dan selalu menginginkan lebih banyak benda.

“Ini adalah masalah kebebasan. Sekiranya anda tidak memiliki banyak harta benda, maka anda tidak perlu bekerja sepanjang hayat seperti hamba. Oleh itu anda ada lebih banyak masa untuk diri sendiri. Saya mungkin kelihatan seperti orang tua yang esentrik..tapi itu adalah pilihan,” katanya, memetik BBC.

Mujica mengakhiri pemerintahannya sebagai Presiden Uruguay pada 1 Mac 2015. Meskipun kini rakyat Uruguay sedang menjalani kehidupan di bawah presiden lain yang mungkin sangat ‘berbeza’, namun mereka tidak akan sesekali melupakan jasa baik Mujica yang kekal tersimpan dalam lipatan sejarah rakyat.

Sumber: Guardian / BBC / History of Yesterday

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu. . insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini