Hanya Kerana Tertinggal Lengkuas Di Pasar,Pasangan Warga Emas Bercerai.Ketua Hakim Syarie Perjelaskan Hal Sebenar

Hanya kerana tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun, seorang wanita warga emas diceraikan suaminya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, pelbagai lagi alasan remeh-temeh yang menjadi punca perceraian pasangan Islam di Terengganu antaranya kerana isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

Di samping itu, katanya, ada juga pasangan yang bercerai kerana isteri tidak memakai seluar jeans.

Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd

“Disebabkan terlampau marah, suami yang tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas berkenaan tiba-tiba melafazkan cerai semasa di atas motosikal.

“Bagaimanapun, rata-rata suami menyesal dengan tindakan itu dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk dengan pasangan masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zakri, situasi perceraian dengan alasan remeh-temeh dan tidak munasabah itu lazim serta sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kalangan suami agar banyak bersabar dan tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati jika menghadapi masalah dengan pasangan masing-masing kerana kesan buruknya terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

“Jangan begitu mudah melafazkan perkataan cerai, sebaliknya suami perlu melihat pertimbangan lain dalam menyelesaikan masalah.

“Kaedah mendidik, mengajar mahu pun bergurau dengan isteri bukan melalui ugutan lafaz talak tetapi banyak lagi pendekatan lain yang disaran Rasulullah dan yang paling mustahak semua pasangan perlu bertolak-ansur serta tidak ego demi menyelamatkan sesebuah perkahwinan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Mohd. Zakri berkata, semua mahkamah syariah di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya bermula minggu dengan memperluas kategori yang boleh didaftarkan berbanding sebelum ini.

Sumber : Utusan Online

PERCERAIAN DAN JENIS-JENISNYA:

Perceraian ialah perihal (kejadian) bercerai (antara suami isteri). Perceraian bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan qadi. Perceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.

Perceraian melibatkan kerosakan hubungan silaturahim antara dua keluarga, anak-anak, mahkamah dan masyarakat. Ia bukan sesuatu yang manis. Tetapi sangat pahit dan perit bagi mereka yang melaluinya. Perceraian yang biasa kita dengar atau yang diamalkan oleh orang Malaysia ialah cerai melalui lafaz talak yang hanya boleh dibuat oleh suami. Talak adalah hak suami kerana hanya suami yang boleh melafazkannya.
(rujuk surah al-Baqarah ayat 229, surah al-Talaq ayat 1 dan surah an-Nisaa ayat 19).

Namun Nabi SAW dalam sebuah hadis bersabda: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak.” Dan: “Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga.”

Daripada ayat al-Quran dan hadis di atas jelas bahawa perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci Allah SWT. Jika seorang suami melafaz talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak berdosa namun ia dibenci Allah.Bagi isteri pula, jika ia memohon cerai tanpa sebab, apatah lagi jika ia melakukan perkara-perkara yang menyebabkan suami terpaksa menceraikannya, maka wanita tersebut tidak akan masuk syurga.

Perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha memulihkan perkahwinan gagal. Ini kerana perceraian memberi kesan buruk bukan saja kepada pasangan suami isteri tetapi kepada anak-anak, keluarga terdekat dan masyarakat. Dahulu di Malaysia, secara lazimnya, pasangan suami isteri yang bergaduh akan melafaz talak atau mentalakkan isterinya. Jika isteri yang ke Mahkamah Syariah, isteri akan memohon fasakh.

JENIS-JENIS PERCERAIAN

Dalam Undang-undang Keluarga Islam Kelantan jenis-jenis perceraian dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;

1. TALAK

2. FASAKH

3. KHULUK ATAU TEBUS TALAK

4. LI’AN

5. ZIHAR

Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan

Sudah Baca Jangan Lupa Like & Share Yaa.. Terimakasih..

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini