Ibu In̷i Kongs̷i T̷ips Mem̷andu Sendiri̷an Jar̷ak J̷auh Bersama 2 An̷ak-Anak Kecilnya, Heb̷at Betul!

Jarak Jauh: Ibu Ini Kongsi Memandu Sendirian Bersama Anak Kecil.. Perkongsian ini khas untuk ibu/bapa yang rasa kurang yakin memandu sendirian dalam perjalanan yang jarak jauh.

Gambar ini diambil semasa perjalanan saya memandu sendirian tanpa suami bersama anak-anak yang berumur 3 tahun(Afifa) dan 11 bulan(Faqih) dari Kluang, Johor ke Tanah Merah, Kelantan. Perjalananan ini mengambil masa selama lebih kurang 10 jam untuk saya tiba ke destinasi.

Pada ketika ini, suami sedang bertugas di ***** tempat di mana kami hanya akan berjumpa 3 bulan kemudian. Kekangan masa dan kesibukan suami, mendidik saya menjadi seorang ibu yang berdikari.

Suami, seorang pegawai badan beruniform, berkhidmat untuk negara. Doakan semoga suami saya dan rakan-rakan seperjuangannya sentiasa dilindungi semasa bertugas. Semoga Allah SWT membalas jasa kalian berkorban masa dan tenaga untuk negara.

Memandu dalam jarak perjalanan yang jauh sendirian bersama anak-anak yang masih kecil bukanlah mudah tetapi tidak mustahil. Pastikan kereta anda di’servis’ dan selamat digunakan. Belajar dengan suami benda-benda asas yang perlu diperiksa sebelum memulakan perjalanan.

Tips Memandu Jarak Jauh Seorang Diri Bersama Anak-Anak Kecil
Saya kongsikan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan bersama:

1. Rehat sebelum perjalanan

Sehari sebelum memulakan perjalanan,pastikan kita dan anak-anak tidur awal dan rehat secukupnya. Rehat yang cukup penting untuk memastikan kita bersedia dan ‘segar’ untuk memandu dalam jarak yang jauh.

Bagi anak, mereka memerlukan rehat kerana perjalanan yang jauh pasti akan meletihkan mereka.

2. Pilih waktu yang sesuai

Mulakan perjalanan pada waktu di mana anak-anak biasanya akan tidur siang. Saya memulakan perjalanan pada jam 11.45 pagi dimana kebiasaannya Afifa dan Faqih akan tidur pada waktu tengahari.

Bagi anak yang jarang tidur pada waktu tengah hari, bermainlah sepuasnya pada waktu pagi sebelum memulakan perjalanan. Penat bermain, anak pasti akan terlelap!

3. Makan

Pastikan anak makan secukupnya. Jika anak lapar, pasti akan meragam. Bawa juga bekal kudap-kudap untuk anak seperti biskut. Afifa pandai membuka bekal sendiri dan berkongsi dengan adik.

Bekal tersebut saya akan letak pada bahagian tengah antara ‘carseat’ mereka. Saya menggunakan cermin bagi ‘carseat’ Faqih yang masih dalam posisi hadap belakang untuk memastikan dia sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Cermin ini memantul pada cermin sisi hadapan di mana saya boleh melihat Faqih melalui cermin tersebut.

4. Keselesaan

Guna ‘carseat’ yang sesuai dan selesa untuk anak. Saya menggunakan ‘carseat’ jenama ‘koopers’ di mana Afifa dan Faqih sangat selesa sepanjang perjalanan kerana ‘padding’ yang tebal dan empuk.

Untuk bantuan dalam pemilihan ‘carseat’, join la Malaysian Carseat Support Group. Dengan bantuan Louis Tan Carseat Raider dari LittleWhiz.com, saya dan suami memilih ‘koopers’ yang sama untuk Afifa dan Faqih di mana kami sepakat memilih untuk menukar ‘carseat’ Afifa yang telah digunakan sejak dia berusia beberapa hari.

‘Carseat’ untuk Faqih juga disediakan seawal kelahirannya. Pastikan juga ‘pampers’ anak bersih dan kering sebelum memulakan perjalanan. Sediakan keperluan asas anak seperti baju dan pampers dalam bag kecil. Tukar pampers anak bila perlu.

5. Bawa permainan anak

Bawa permainan yang lembut dan selamat bagi menghilangkan kebosanan mereka. Saya menyediakan mainan kesukaan Afifa dan Faqih yang mana hanya disimpan di dalam kereta.

Tukar ganti bila mana nampak anak sudah kurang berminat dengan mainan tersebut. Tukar ganti bukanlah beli yang baru, tapi ‘recycle’ dengan mainan di rumah yang dah lama tidak digunakan.

6. Berhenti berehat

Berhenti di R&R atau stesyen minyak yang mana kawasan tersebut tidak sunyi dan selamat untuk turun dengan anak-anak. Saya jarang menggunakan stroller untuk bergerak kerana memakan masa. Saya akan menggendong Faqih dan memimpin Afifa untuk turun ke tandas atau makan.

Ringsling adalah antara gendongan yang paling cepat untuk dipakai dan dibuka. Boleh ‘join’ Malaysian Babywearers (Official) untuk cari ilmu dan info berkaitan ‘carrier’ yang sesuai dan selamat untuk digunakan.

Selain boleh menyusu dalam carrier, boleh juga digunakan semasa ke tandas. Kami akan berhenti paling kurang setiap 2-3 jam kerana Faqih menyusu badan sepenuhnya. Kadangkala Afifa meminta untuk bermain di taman permainan R&R. Saya akan bawa mereka bermain paling lama 10-15 minit.

Bagi mengisi minyak, berhenti di pam yang ada pembantu. Biasanya saya akan meminta pembantu pam mengisi minyak.

Tips keselamatan, pasang dash camera. Sekiranya berlaku sesuatu, ada video untuk dijadikan bahan bukti dan rujukan.

7. Hiburan

Bermain dengan permainan sahaja pasti membosankan mereka. Mengira, menyanyi dan berboraklah dengan mereka sepanjang perjalanan. Boleh juga ‘mainkan’ lagu kegemaran mereka di radio.

Afifa sangat suka menyambung lirik lagu kegemarannya dan Faqih bertepuk tangan bila mana kami menyanyi bersama. Kenal pasti lagu kegemaran anak dan menyanyi lah bersama mereka! Perjalanan pasti menyeronokkan.

Yakin pada diri sendiri,percaya pada kemampuan anak-anak. InsyaAllah, perjalanan dipermudahkan.

Saya juga ada pengalaman kereta rosak dalam perjalanan dan suami di luar kawasan. Ini catatan pengalaman tersebut:

Pastikan anda menghubungi PLUS Malaysia untuk bantuan sekiranya berlaku perkara tidak diingini. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Salam sayang, Noraqilah Johari
Suri hati Kapten Farid

Kredit: theasianparent