Kisah Seram Banglo Yang Ghaib Sekelip Mata,Di Johor

Masih ingat kisah sebuah banglo yang tiba-tiba hilang di sebuah kawasan perumahan di Johor Bahru hampir 20 tahun yang lalu? Kisah itu gempar diperkatakan dahulu.

Ada pelbagai versi dikaitkan dengan kisah misteri kehilangan banglo ini. Ada yang mengatakan pemilik banglo itu mengamalkan ilmu hitam dan kerana melanggar syarat, kekayaannya lenyap sekelip mata termasuk banglo itu.

Ada pula versi yang mengatakan pemilik banglo itu membina rumah tersebut menggunakan wang anak yatim. Sebab itu banglo itu hilang kerana pemiliknya tidak amanah.

Tak kurang juga versi yang mengaitkan kononnya pemilik rumah ini cuba menguji ilmu sihir yang dipelajarinya dengan menghilangkan rumah tersebut, tetapi dia gagal mengembalikan semula rumah itu.

Kisah-kisah misteri juga sering dikaitkan dengan kawasan rumah ini. Ada juga yang menafikan dan mengatakan kisah banglo hilang itu tidak benar, hanya rekaan sahaja.

Kisah kehilangan banglo ini dikatakan bermula sekitar tahun 2003 atau 2004. Dikatakan ketika itu penduduk di sekitar Taman Rinting, Masai, Johor, telah digemparkan dengan satu kejadian aneh yang melibatkan kehilangan secara misteri sebuah rumah banglo yang dikatakan ghaib sekelip mata hanya dalam tempoh satu malam sahaja.

Cerita kehilangan rumah banglo itu jadi tular. Sukar dijelaskan bagaimana struktur asal lot unit kediaman dua tingkat yang terbina kukuh itu boleh hilang sekelip mata.

Anak panah menunjukkan lot banglo yang hilang itu.
Dikatakan kehilangan itu hanya melibatkan struktur luaran bersama kelengkapan rumah. Struktur asas seperti tangga rumah, mangkuk tandas dan lantai jubin masih ada sewaktu kejadian itu berlaku.

Apa kisah yang sebenarnya, sukar dipastikan tambahan pula terdapat pelbagai versi dikaitkan dengan misteri kehilangan banglo ini. Tak kurang juga yang mengatakan rumah ini telah disorokkan ke alam lain.

Mastika pernah datang lokasi ini pada tahun 2013, iaitu selepas 10 tahun kisah banglo hilang ini diperkatakan.

Pada ketika itu, dapat dilihat daripada beberapa deretan lot rumah banglo yang ada di situ, terdapat satu lot tanah lapang yang berukuran sekitar suku ekar. Tanah tersebut berkedudukan nombor dua dari bahagian tepi.

Kawasan lot banglo yang kosong, hanya berpagar sahaja. Rumah berbumbung merah adalah rumah yang terletak di bahagian belakang tapak banglo yang dikatakan hilang itu.
Kedudukan tanah lapang itu berhadapan dengan jalan besar di Taman Rinting. Di bahagian kiri, kanan dan belakang lot berkenaan masih tersergam kediaman yang berpenghuni.

Tetapi, struktur tapak asal rumah berkenaan seperti tangga, mangkuk tandas dan lantai jubin tidak lagi kelihatan seperti yang digambarkan ketika fasa awal kejadian tersebut berlaku. Sebaliknya, ia telah diturap dan dijadikan gelanggang bola keranjang persendirian. Daripada apa yang diberitahu, gelanggang bola keranjang itu telah dibina oleh salah seorang jiran bersebelahan.

Bagaimanapun, sistem kawalan sekuriti secara eksklusif di deretan kediaman itu menyukarkan siasatan kami ketika itu untuk merungkai kisah di sebalik misteri kehilangan banglo tersebut.

Waktu itu kami cuba juga mencari sumber lain dan bertemu dengan seorang bekas pegawai penilai hartanah di daerah Masai, bernama Khalis.

Menurut Khalis, kehilangan banglo dua tingkat itu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti paranormal. Sebaliknya, ia telah diubah kedudukannya oleh pemilik asal rumah berkenaan atas sebab-sebab tertentu. Malah, ia bukan dialihkan dalam sekelip mata seperti yang digembar-gemburkan, tetapi memerlukan masa beberapa hari untuk melengkapkan pemindahannya secara total.

Kata Khalis, rumah tersebut dibina dengan menggunakan teknologi blok pasang siap. Pemilik asalnya telah mengambil struktur binaan itu dan mendirikannya di tempat lain. Disebabkan itu, struktur luarannya sahaja didapati tiada dan lantai asas seperti jubin dan tangga dibiarkan di tapak asalnya. Namun, tidak dapat dipastikan atas alasan apa ia dilakukan dan di mana lokasi baru banglo tersebut dipindahkan juga tidak diketahui dengan jelas.

Ketika itu Khalis memberitahu kami, tanah tersebut telah dibeli oleh pemilik banglo yang tinggal bersebelahan dengan lot kosong berkenaan. Namun, pemilik baru itu tidak membina rumah, sebaliknya dijadikan sebagai lokasi untuk aktiviti riadah.

Itu adalah informasi yang kami dapat semasa datang ke sana pada tahun 2013. Pada masa sekarang, mungkin keadaan dan statusnya telah berubah.

Sudah Baca Jangan Lupa Like & Share Yaa.. Terimakasih..

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini