Masa Kenduri Dulu Pernah, Tuan Rum4h Men4ngis Bila T0k Guru Salam Beritahu ‘Minta Maaf Bany0k, Amb0 Takd0k Duit’

Pada 12 Februari lalu, genap Tujuh tahun pemergian Almarhum Tuan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menghembuskan nafas terakhir ketika usianya 84 tahun.

Pemergian Allahyarham tokoh ulama dan ilmuan agama ini ditangisi jutaan rakyat, tanpa mengenal batas usia dan bangsa serta fahaman politik. Sesungguhnya Tuan Guru Nik Aziz sukar dicari ganti, ibarat hilang sudah sebutir permata berharga.

Kepimpinan zuhud dan keperibadian mulia mantan Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bakal dirindu seluruh rakyat.

Pada masa yang sama, kisah perbualan Allahyrham Tuan Guru Nik Aziz semasa hayatnya yang didedahkan rakan yang mengenali amat menyentuh hati ramai.

Kisah Perbualan Pertama
Semasa Lutfi Othman menjadi Pengarang Majalah Detik, dia lihat Tok Guru sign dokumen seakan melayangkan pen sahaja. Lalu, Lutfi berseloroh, “Tekan kuat sikit mata pen tu tok guru baru clear.

Sambil tersenyum Tok Guru membalas, “Ambo guno pen pejabat, Hok rakyat.. Tekan kuat takut membazir.. Kito tok buleh wat mudoh harto rakyat nih”.

Dakwat pen pun menjadi perhitungan untung rugi. Itulah Tok Guru Nik Aziz.

Kisah Perbualan Kedua
Husam Musa bekas setiausaha politik Tok Guru pernah bercerita, setiap kali tidur di hotel bersama Tok Guru, Tok Guru tidur atas lantai dengan alas sejadah dan membiarkan katilnya kosong.

Husam berkata, “Tido atah katil Tok Guru, sejuk tubuh tu..”, Tok Guru membalas, “Tido atas katil.. Tempat sedap.. Takut jenegho (terlelap) tok bangun tahajud.. Tido atas lantai… Tempat tok seleso.. Mudoh sedar nak buat tahajud”.

Begitu sekali beliau merancang ibadatnya…

Kisah Perbualan Ketiga

” Cuba beritahu saya mana satu yang Nik Aziz punya. Harta saya malah tubuh saya hak Allah. Saya pinjam jah, jadi kita ni jangan sombong sangat dengan barang pinjam.

” Kita atas muka bumi jangan bermewah sangat, Nok senang sentiasa, belajar hidup susah. Takut kita dalam kubur terkejut bila mari susah (bergurau). Jadi berlatih susah dulu atas muka bumi ni.. (Tuan Guru Nik Aziz, Majalah Tamadun)

Kisah terakhir, perkongsian AJK PAS Pusat
Seorang pemimpin Pas hari ini mengimbas balik kenangan mengenai watak dan personaliti bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyrham Datuk Nik Aziz Nik Mat Nak sebagai pemimpin yang bersih.

Kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Azman Ibrahim dalam satu perkongsian, kalau hendak menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan disayangi, tidak semestinya mempunyai banyak wang.

” Semoga Allah merahmati Almarhum Tok Guru yang telah mendidik kita dengan erti dan makna sebenar kehidupan ini,” katanya.

Berkongsi lanjut kisah Nik Aziz, beliau berkata bagaimana Almarhum pernah pergi ke tempat kenduri dan berlaku kejadian yang tidak disangka-sangka.

Ujarnya, apabila hendak balik almarhum pergi bersalam dengan tuan rumah sambil bercakap dengan lemah lembut, “Mintak maaf banyok, ambo tak dok pitih (duit) nak bagi…Allah..mengalir air mata tuan rumah.”

Dia jemput Tok Guru datang kenduri bukan kerana nak mintak duit Tok Guru. Kehadiran Tok Guru sudah suatu rahmat besar bagi tuan rumah. Pada suatu hari pula, katanya, seorang rakyat berkunjung ke rumah Nik Aziz minta bantuan hendak bayar yuran sekolah anak.

” Bila tetamu beritahu dia datang dari Pasir Puteh, Tok Guru berkata, “Kesiannyoo, ambo tak dok pitih (duit) nak wi.”

Namun meskipun ada dalam poket cuma 20 ringgit, Tok Guru bagi ganti balik tambang hamba Allah ini kerana datang dari jauh.

Kata Tok Guru, “Kalu dia tak tambang teksi datang ke sini, sepatutnya dalam poket dia masih ada lagi 20 riyal,” katanya dalam perkongsian dalam Harakahdaily.

Biasanya, kata beliau, Nik Aziz minta pembantu beliau tolong ambil duit dari mesin ATM.

” Pembantu Tok Guru pergi cucuk kad ATM, tengok tak ada duit. Orang yang pernah terima cek dari Tok Guru, mereka tak pelik kalau Tok Guru pesan. “Cek ni gi tukar akhir bulan. Jangan gi loni, tak dok pitih…”

Al-fatihah buat Allahyrham Tuan Guru Nik Aziz.

Sumber : mynewshub dan sarawakvoice

Biodata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jika belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau myang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama: Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir: Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian

1. Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2. Universiti Deoband India
3. Universiti Lahore Pakistan
4. Universiti Al Azhar
5. Sarjana Muda bahasa Arab
6. Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

BIDANG POLITIK

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

PENDAKWAH

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah.

Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

SEORANG PETAH BERCAKAP

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya.

Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

KEISTIMEWAAN

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

PENGHARGAAN

Beliau mendapat penghargaan

1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.

2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

PERKAHWINAN

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

AHLI PARLIMEN YANG KOMITED

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

KERAJAAN CONTOH

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

Sudah Baca Jangan Lupa Like & Share Yaa.. Terimakasih..

Jom join group Ceramah Apa Hari Ini (CAHI) , Sama2 Kita Mencari Serta Berkongsi Ilmu… insyaAllah bermanfaat disana.. TQ
Ingin Sertai –> Klik Di Sini