Tak Sed̷ap H̷ati Nampak Beg PIastik Di Tepi Jalan, Lelaki Mengambilnya Namun Terk3jut Mendapati Duit Ribuan Ringgit Di Dalamnya

Ternampak Beg Plastik Di Tepi Jalan, Lelaki Merasa Tak Sedap Hati Dan Berpatah Balik Untuk Mengambilnya Namun Terkejut Mendapati Duit Ribuan Ringgit Di Dalamnya!

“Sebaik saya memberitahu menemui wang berkenaan dan pulangkannya, dia (pemilik wang) terus memeluk saya dan mengucapkan terima kasih,” kata Zainuddin Azman Jamhari, 38.

Zainuddin yang menetap di Kampung Gajah, Perak itu berkata, dia memastikan individu terbabit adalah pemilik wang RM4,850 yang ditemuinya di tepi jalan sebelum memulangkannya.

Menceritakan semula kejadian itu, Zainuddin berkata, ia berlaku pada Rabu lalu kira-kira jam 1 tengah hari ketika dalam perjalanan dari rumah ke stesen minyak di kawasan berhampiran.

“Cuaca hujan ketika itu dan entah kenapa, saya melalui jalan dalam, bukan laluan biasa digunakan ke stesen minyak. Ketika menunggang motosikal, saya perasan ada plastik berisi seperti gumpalan di atas rumput di tepi jalan.

“Disebabkan tidak sedap hati, saya berpatah balik dan mengambilnya. Badan terus rasa menggigil apabila melihat banyak wang kertas di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya meletakkan plastik berisi wang berkenaan ke dalam raga motosikal tetapi tidak terus beredar sebaliknya memikirkan apa perlu dilakukannya.

“Ketika itu, enjin motosikal masih hidup dan jika saya beredar, wang berkenaan sudah tentu jadi kepunyaan saya.

“Namun, hati rasa berat untuk mengambilnya kerana memikirkan anak dan terbayang dia makan benda yang kotor (haram) jika beli sesuatu menggunakan wang itu.

“Jadi, saya tunggu sebentar dan tidak lama selepas itu, sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) Toyota Avanza berhenti berhampiran sebelum penumpang serta pemandunya keluar. Saya perhatikan mereka seperti mencari sesuatu yang hilang,” katanya.

Katanya, seorang lelaki yang juga pemandu kereta itu kemudian menghampiri dan menegurnya.

“Dia tegur saya dulu dan bertanya adakah berhenti disebabkan motosikal rosak. Saya jawab sedang menunggu seseorang dan saya kemudian tanya tujuan mereka berhenti sebelum dia maklumkan mencari sesuatu yang hilang.

“Bagi mendapat kepastian, saya tanya lebih lanjut dan rupanya dia kehilangan wang selepas tercicir kira-kira 45 minit sebelum saya melalui jalan itu,” katanya.

Zainuddin berkata, selepas diceritakan apa yang berlaku dan memastikan kesahihan, dia mengembalikan semula wang berkenaan kepada lelaki terbabit.

“Lelaki itu maklumkan wang berkenaan mahu digunakan untuk membaiki kereta dan tercicir ketika berhenti di tepi jalan untuk membetulkan pengelap cermin.

“Dia menawarkan sejumlah wang sebagai saguhati. Saya menolak pada mulanya tetapi mengambil juga pemberiannya itu apabila dia bersungguh,” katanya yang bekerja sebagai penjaga ladang lembu.

Disebabkan sudah terlewat untuk ke tempat kerja, Zainuddin berkata, dia tidak sempat bersembang lama dengan lelaki berkenaan.

“Kami tidak sempat bertanya nama satu sama lain kerana hujan lebat. Cuma, pada malam hari yang sama, saya muat naik hantaran di FB untuk berkongsi kisah itu dan tidak sangka ia jadi tular dengan cepat.

“Bukan setakat itu, ada beberapa individu menghantar kiriman mesej di FB dan WhatsApp mendakwa mereka adalah pemilik wang yang hilang itu namun kebanyakannya tidak memberi maklumat tepat selain cuba mempermainkann saya,” katanya.

Katanya, perasaannya benar-benar lega selepas mengembalikan wang berkenaan.

“Namun, ada juga segelintir rakan menganggap saya bodoh dan menolak rezeki kerana tidak mengambil wang itu. Bagi saya, untuk apa mengambilnya jika ia bukan hasil titik peluh sendiri.

“Biarlah apa pandangan mereka, yang penting saya enggan berasa berdosa seumur hidup. Lagipun, ini kali ketiga saya terjumpa wang dan semuanya dikembalikan kepada pemiliknya. Syukur kerana Allah melindungi daripada mengambil sesuatu yang bukan hak saya,” katanya.

Sumber: Harian Metro Via Sgempak

Jom sama2 join group ni.. Khas untuk sama2 kita share resepi korang nnti..inshaAllah bermanfaat disana..TQ
Nak Join –> Klik Disini